PAS Akan Nyatakan Pendirian Jika Tiga Exconya Dipecat

PAS hanya akan menyatakan pendirian berhubung kedudukan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor jika berlaku pemecatan terhadap tiga exconya dalam kerajaan itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris kononnya semua ADUN PAS bersedia keluar daripada pentadbiran negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah tidak berasas sama sekali.

“Itu tak benar. Nak tahu benar, selepas dipecat, barulah kita akan beritahu sesuatu yang benar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Selangor Agrofest 2017 di Stadium Sungai Besar.

Sallehen berkata, PAS tidak pernah berbincang berhubung tindakan yang akan diambil parti itu sekiranya tiga exconya dipecat dalam pentadbiran kerajaan Selangor.

Tegasnya, PAS tidak akan bekerjasama dengan PKR dan akur dengan Majlis Syura Ulama yang telah memutuskan tahaluf siyasi dengan parti itu.

“Kalau dulu, orang PAS boleh panjat pokok kelapa pasang bendera PKR, sekarang PKR dan PAS kena panjat sendiri,” katanya. – 21 Mei 2017.