SME Corp Lulus Geran RM11.8 Juta Bantu 130 Usahawan

SME Corp Malaysia meluluskan geran bernilai RM11.8 juta bagi 130 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP) sejak tahun 2009 di Kelantan.

Pengarah Bahagian Strategik Korporat SME Corp, Mimi Razidah Abdul Razak berkata, geran tersebut bertujan memberi peluang kepada peniaga meneroka pasaran dan pelaburan dengan lebih luas.

Katanya, pihaknya juga hari ini menyerahkan geran di bawah program sama bernilai RM1.1 juta kepada tujuh syarikat PKS bagi tujuan membangunkan perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Tujuh syarikat yang dipilih itu adalah berdasarkan permohonan serta kajian kami terhadap potensi mereka mengembangkan perniagaan masing-masing dengan baik.

“Program ini juga akan dapat menyuntik semangat usahawan untuk terus menjalankan pelbagai jenis perniagaan sekali gus memajukan ekonomi negara,” katanya selepas majlis Penutupan Minggu PKS 2017 peringkat negeri Kelantan.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapha.

Dalam pada itu, Makhtar berkata, penyampaian geran tersebut diharap dapat membantu usahawan terbabit mengembangkan perniagaan.

“Inisiatif daripada SME Corp ini adalah satu platform yang dapat menggalakkan pembabitan usahawan selain mendedahkan kepada masyarakat saluran yang betul untuk memulakan perniagaan.

“Diharapkan pelbagai lagi program boleh dirangka dan dijalankan yang mana boleh memberi manfaat kepada masyarakat khususnya untuk usahawan tempatan,” katanya. – 21 Mei 2017.