TPPA: Malaysia Bersikap Terbuka – Mustapa

Malaysia akan terus meminda undang-undang, termasuk buruh dan hak harta intelek tanpa mengira sama ada negara ini akan menjadi sebahagian daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perubahan itu bukan hanya untuk mematuhi TPPA, malah merupakan semakan semula domestik yang terus dilaksanakan bagi mengukuhkan dan mengemas kini undang-undang.

Beliau berkata, pindaan terbabit akan memenuhi obligasi antarabangsa Malaysia seperti dalam Pertubuhan Buruh Antarabangsa selain memastikan undang-undang negara terus relevan dengan kedudukan semasa.

“Sekiranya TPPA diteruskan tanpa penyertaan US (Amerika Syarikat), kita perlu memastikan kepentingan kita tetap terpelihara dan manfaat yang diperoleh mengatasi kos.

“Dalam menilai penyertaan Malaysia dalam TPPA tanpa US, pertimbangan penting ialah kemungkinan Malaysia akan kehilangan peluang ekonomi sekiranya sepuluh negara lain memutuskan untuk meneruskan perjanjian perdagangan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustapa berkata, buat masa ini Malaysia akan terus bersikap terbuka dan meneruskan pembabitan dalam perbincangan mengenainya.

“Pembabitan dengan pemegang kepentingan domestik akan diteruskan sehingga terdapat pilihan yang lebih jelas untuk dipertimbangkan.

“Saya memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa sebarang keputusan yang bakal dibuat akan mengutamakan kepentingan negara,” katanya.

Baki 11 anggota TPP bertemu hari ini di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di Hanoi.

Ia merupakan mesyuarat pertama yang melibatkan semua menteri anggota TPPA selepas notifikasi penarikan diri dikeluarkan oleh US pada 30 Jan 2017.

Mustapa berkata, negara anggota bersatu dalam komitmen mereka untuk mengekalkan momentum liberalisasi perdagangan dan penyepaduan serantau.

“Kami meminta pegawai TPPA memulakan proses bagi menilai semua pilihan yang sedia ada.

Mesyuarat yang membabitkan pegawai TPPA seterusnya dijangka dihoskan oleh Jepun pada Julai 2017. – Bernama, 21 Mei 2017.