PAS Tidak Peduli, Jawatan Exco Selangor Miliknya

PAS tidak peduli dengan sebarang tekanan berkaitan isu tiga Exconya dalam kerajaan Selangor pimpinan PKR.

Sambil menyifatkan parti Islam itu sebagai anak jantan, Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menegaskan, jawatan Exco Selangor adalah hak PAS.

“Biar orang nak kata apa, kami setakat ini tidak akan keluar (dari kerajaan Selangor) dan Exco kami tidak akan letak jawatan.

“Sebab itu bagi kami adalah ‘anak jantan’ apabila bertahan dengan jawatan, ” katanya.

Dalam Kongres Nasional PKR kelmarin, seorang perwakilan Angkatan Muda Keadilan PKR Johor mencabar Exco PAS dan semua lantikan politik di Selangor meletakkan jawatan sekiranya mereka ‘anak jantan’.

Mohd. Amar berkata, pendirian PAS tidak akan berubah selagi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak menitahkan Exco PAS dan semua lantikan politik di Selangor meletak jawatan.

Tiga exco terbabit adalah Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib. – 21 Mei 2017.