RM10.6 Juta Bina Kompleks Perpaduan Machang

Kerajaan persekutuan memperuntukkan kira-kira RM10.6 juta untuk membina Kompleks Perpaduan Daerah Machang, Kelantan.

Timbalan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri, (MTPN) Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, projek berkenaan telah bermula pada November lalu dan dijangka siap pada November tahun hadapan.

“Kompleks ini adalah yang kedua di Kelantan dan dilengkapi dengan kemudahan seperti dewan utama, ruangan pejabat, tempat letak kereta dan sebagainya.

“Setakat ini, projek yang dilaksanakan diatas tanah seluas kira-kira dua hektar ini sedang dalam pembinaan iaitu 17 peratus siap,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan berkata, kompleks perpaduan ini dibangunkan untuk manfaat semua kaum ke arah mengukuhkan semangat perpaduan masyarakat majmuk.

“Bagi kita pembinaan serta memperkasakan jabatan ini sememangnya amat penting selari dengan matlamat kerajaan yang amat menitikberatkan perpaduan.

“Malah kompleks ini bukan sahaja boleh dinikmati oleh masyarakat di daerah ini sahaja bahkan seluruh negeri sekaligus ia dapat membantu pertumbuhan ekonomi di Machang,” katanya. – 22 Mei 2017.