TPM Turun Setiap Negeri Berbuka Puasa

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan turun ke setiap negeri sepanjang bulan Ramadan untuk berbuka puasa.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau bersama pengurusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bertemu dengan pegawai dan anggota agensi di bawah KDN serta badan bukan kerajaan, parti politik dan semua kumpulan masyarakat bagi mengeratkan silaturahim.

“Selepas berbuka puasa (di satu tempat), saya akan bersolat Isyak dan solat sunat Tarawih di masjid lain pula untuk bertemu dengan semua kumpulan masyarakat.

“Saya akan mula turun pada 28 Mei sekiranya kita mula berpuasa pada 27 Mei,” katanya kepada pemberita selepas program makan tengah hari dan solat Zuhur di Surau Kampung Orang Asli Bukit Dugang, Dengkil hari ini.

Beliau berkata, penceramah terkenal Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat akan turut diundang bagi menyampaikan ceramah dengan tajuk-tajuk bersesuaian mengikut negeri yang dikunjungi. – Bernama, 22 Mei 2017.