Wakil PKR Tidak Hadir Angkat Sumpah MDPP

Tiga wakil PKR Kelantan tidak hadir pada majlis angkat sumpah sebagai Ahli Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) yang diadakan di sebuah hotel di Kota Bharu hari ini.

Mereka terbabit adalah Mohd. Rosdan Hassan, Suzila Semail (lantikan semula) dan Nor Rosmini Mohd. Nor (lantikan baharu).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, kerajaan negeri bersikap terbuka dan menganggap pelantikan itu kekal selagi tidak ada surat rasmi peletakan jawatan.

“Kita akan beri masa dan melihat kepada situasi dan perkembangan selanjutnya, setakat ini kita tidak terima apa-apa hitam putih termasuk daripada wakil PKR yang sudah mengangkat sumpah di beberapa majlis daerah.

“Kita melantik 37 wakil dari PKR sebagai Ahli Majlis di seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini supaya mereka dapat bersama menyumbang demi kebaikan rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi PKR negeri, Ab. Aziz Ab. Kadir mengumumkan pihaknya akan melepaskan semua 75 jawatan yang disandang wakil mereka dalam pentadbiran kerajaan PAS Kelantan selepas keputusan Biro Politik PKR yang mengarahkan mereka berbuat demikian. – 22 Mei 2017.