Cuepacs Mohon ‘Duit Raya’ RM1,000 Untuk Penjawat Awam

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) memohon kerajaan mempertimbangkan untuk memberi bantuan khas RM1,000 kepada 1.6 juta penjawat awam sebagai persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, beliau berharap jumlah tersebut lebih tinggi berbanding RM500 yang diberikan tahun lepas bagi meringankan beban perbelanjaan ketika peningkatan kos sara hidup serta harga barang yang tidak menentu.

“Kita tahu kalau penjawat awam tiada insentif berkenaan belum tentu pada malam raya pun boleh beli baju raya lagi. Ini satu perkara penting buat penjawat awam menjelang ketibaan Aidilfitri nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sektor Awam Peringkat Terengganu hari ini.

Tahun lepas, kerajaan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada 1.6 juta penjawat awam dan RM250 kepada 743,000 pesara kerajaan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Dalam pada itu, beliau menafikan laporan yang tular di media sosial berhubung Cuepacs memohon umur persaraan penjawat awam dilanjutkan sehingga 65 tahun berbanding 60 tahun pada masa ini.

“Itu tidak benar. Kita hanya minta naik gaji sahaja. Kenyataan itu ternyata dimanipulasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan menyebarkannya di media sosial,” katanya. – 23 Mei 2017.