Demi Islam – PAS, UMNO Perlu Bersatu

Umat Islam dan masyarakat Melayu dilihat lebih terjamin sekiranya dua parti Melayu terbesar di negara ini iaitu UMNO dan PAS bersatu.

Ia bukan sahaja untuk mencapai matlamat suara pemimpin Melayu atau Islam menguasai majoriti dua pertiga kerusi di Parlimen namun lebih daripada itu syiar Islam yang perlu dimartabatkan di mata dunia.

Bersatu, tidak bermakna terhad dalam gabungan satu parti tetapi, memadai dengan kerjasama politik sebagaimana pernah berlaku dalam kerajaan campuran di zaman Allahyarham Tun Abdul Razak dan Allahyarham Tan Sri Asri Muda.

Strategi itu penting dalam usaha memperkasakan ketamadunan umat Islam dan masyarakat Melayu di negara ini.

Justeru, Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub menggesa, kedua-dua parti itu bekerjasama demi agama, bangsa dan negara.

Biarpun ia bukan suatu perkara mudah, namun katanya perkara itu tidak mustahil.

“Kepemimpinan tertinggi parti mesti mampu meyakinkan penyokong masing-masing bahawa kerjasama antara kedua parti adalah prasyarat utama kepada pemerkasaan dua pertiga kuasa politik Melayu Islam di Parlimen,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan dilaporkan berkata, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bersatu dengan menjadikan Islam sebagai agenda penyatuan dalam usaha memastikan penguasaan majoriti dua pertiga kerusi wakil Islam di Parlimen.

Mustapha berkata, UMNO dan PAS adalah dua parti Islam yang terbesar di negara ini dan perpecahan umat Islam bermula apabila PAS ditubuhkan dengan mengheret orang Melayu Islam berpecah menjadi dua kumpulan.

“Walaupun majoritinya tetap menyokong UMNO tetapi orang Islam berpecah dua. Ia menjadi bertambah buruk apabila PAS mengkafirkan UMNO.

“Keadaan lebih buruk apabila Melayu Islam berpecah lagi dengan wujudnya PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Melayu Islam kini menjadi minoriti. Akibatnya parti yang mewakili kaum bukan Melayu dan bukan Islam yang asalnya minoriti menjadi majoriti melalui kuasa undi penentu dalam pilihan raya,” katanya.

Pun demikian, katanya, masa belum terlambat untuk membetulkan kesilapan lalu kerana ahli UMNO dan PAS adalah umat Islam dengan dasar perjuangan hampir sama.

“Mereka bersyahadah yang sama. Menyembah Allah yang satu. Bertutur bahasa yang sama. Beradat resam dan budaya yang sama. Makan budu, belacan dan cencaluk.

“Merekalah Melayu Islam yang menjadi tunggak kekuatan negara ini. Melayu itu seperti kiambang, berpecah apabila biduk lalu tapi bertaut semula,” katanya. – 23 Mei 2017.