Kerajaan Tidak Akan Naikkan Harga Gula

Kerajaan tidak akan menaikkan harga gula walaupun pengeluar barangan terkawal itu meminta supaya berbuat demikian.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ia kerana kerajaan baru sahaja menaikkan harga gula kepada 11 sen pada Mac lepas selain harga gula di pasaran dunia juga menurun.

Beliau berkata, kerajaan menaikkan harga gula pada masa itu kerana harga di pasaran global berada pada kadar US$0.22 hingga US$0.23 sen per paun.

“Kenapa saya perlu berbuat demikian apabila harga gula di pasaran dunia menurun,” katanya merujuk kepada harga gula di pasaran dunia kini yang berada pada kadar AS$0.17 sen per paun.

Hamzah berkata demikian sebagai mengulas permintaan pengilang gula MSM Malaysia Holdings Bhd untuk menaikkan harga gula kepada 29 sen.

Dalam pada itu, beliau melancarkan kempen #janganlebihlebih menjelang sambutan bulan Ramadan dan Aidilfitri. – 23 Mei 2017.