Malaysia, Singapura, Vietnam Setuju Beri Kelonggaran Dalam Rundingan RCEP

Malaysia, Singapura dan Vietnam bersetuju untuk memberi kelonggaran dalam rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi membantu merapatkan jurang selain mencapai kata sepakat dalam kalangan negara-negara terbabit.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, beliau bersama rakan sejawatannya berbincang mengenai isu-isu dan cabaran yang dihadapi dalam mencapai kata sepakat berkaitan dengan barangan, perkhidmatan dan pelaburan masing-masing.

“Ia sukar untuk mencapai kata sepakat memandangkan tahap pembangunan ekonomi yang berbeza dalam kalangan negara-negara yang mengambil bahagian.

“Ini kelonggaran yang dibenarkan dalam peringkat awal untuk memenuhi cita-cita negara anggota RCEP.

“Ia tidak menjejaskan komitmen kami untuk memastikan bahawa RCEP kekal sebagai perjanjian berkualiti dan bermanfaat secara komersil untuk semua pihak yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Menteri-Menteri RCEP Intersessional di Hanoi.

RCEP satu-satunya ‘mega FTA’ dirundingkan di peringkat global yang telah menyaksikan 18 pusingan rundingan dengan pertama kalinya ialah di Brunai pada 2013.

Mustapa berkata, beberapa cabaran telah berjaya ditangani pada mesyuarat kali ini.

Menurut Mustapa, beberapa kemajuan telah dicapai dalam semua rundingan dan setakat ini, dua daripada 20 bab Perjanjian RCEP iaitu mengenai kerjasama ekonomi dan teknikal, dan PKS telah siap.

“Hanya tinggal beberapa bab yang perlu diteliti,” katanya. – 22 Mei 2017.