Terserah Kepada Kelantan

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyerahkan kepada kerajaan PAS Kelantan untuk mengambil tindakan berhubung isu peletakan jawatan lantikan politik PKR di negeri itu.

Azmin berkata, beliau tidak mahu mencampuri urusan kerajaan negeri Kelantan dan terpulang kepada kerajaan itu untuk tindakan lanjut.

“Saya tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan dan percaya perkara ini (peletakan jawatan) boleh diselesaikan secara baik antara kerajaan negeri dan pimpinan PKR Kelantan,” katanya.

Beliau ditemukan pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan kunci rumah program Skim Smart-Sewa di Klang hari ini.

16 Mei lepas PKR mengarahkan semua lantikan politik daripada parti itu dalam kerajaan negeri Kelantan melepaskan jawatan mereka serta-merta.

Arahan itu dikeluarkan berikutan keputusan PAS yang membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, PAS memberi kebebasan sepenuhnya kepada ahli PKR sama ada untuk meletak jawatan atau kekal berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan negeri Kelantan. – 23 Mei 2017.