Wujud Penggera Kebakaran Di Sekolah Pondok

Penggera kebakaran secara manual perlu diwujudkan di semua sekolah pondok bagi memberi isyarat segera sekiranya berlaku kebakaran.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Nazili Mahmood berkata, langkah berkenaan perlu dilakukan segera memandangkan kes kebakaran kerap berlaku di sekolah pondok.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya juga telah mengarahkan semua balai bomba yang terlibat untuk memberi latihan asas kepada pelajar pondok supaya mereka dapat bertindak segera sekiranya berlaku kebakaran.

“Walaupun latihan sudah dibuat namun, kebakaran berlaku begitu cepat. Oleh sebab itu, penggera kebakaran perlu ada di setiap sekolah pondok untuk memberi amaran berlaku kebakaran.

“Bila penggera kebakaran dibunyikan, pelajar akan boleh bertindak segera untuk menyelamatkan diri dan harta benda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Latihan Pemantapan Pasukan Keselamatan Kebakaran (ERT) Negeri Kelantan di Ibu Pejabat JBPM. – 23 Mei 2017.