Ahli PKR Dalam Proses Letak Jawatan Dalam Kerajaan Kelantan

Ahli PKR yang berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan PAS Kelantan kini dalam proses menyerahkan notis peletakan jawatan masing-masing.

Pengerusi PKR Kelantan, Ab. Aziz Ab. Kadir berkata, ahli PKR yang dilantik kerajaan Kelantan juga tidak hadir pada majlis angkat sumpah bagi mematuhi arahan parti supaya berundur daripada pentadbiran kerajaan itu.

“Setakat ini PKR negeri sedang mengumpul semua surat peletakan jawatan ahli yang dilantik untuk diserahkan secara rasmi,” katanya memetiklaporan sebuah portal hari ini.

Pada 17 Mei lalu, PKR mengarahkan semua ahli partinya yang dilantik dalam pentadbiran kerajaan Kelantan meletak jawatan serta merta.

Ia susulan keputusan PAS membatalkan kerjasama politik dengan PKR.

Sementara itu di Selangor, Biro Politik PKR malam tadi bersetuju dengan keputusan Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali untuk mengekalkan status 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS termasuk tiga exco dalam pentadbirannya. – 24 Mei 2017.