PKR Terima Pendekatan Azmin Kekal Tiga Exco PAS

PKR bersetuju mengekalkan status 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS termasuk tiga exco dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor walaupun parti Islam itu telah memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menerima pendekatan yang diambil Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk mengekalkan mereka terbabit.

“Biro Politik PKR bersetuju dengan pendekatan menteri besar Selangor untuk menjamin kestabilan menjelang PRU14 dan meneruskan usaha membangunkan Selangor selaras mandat besar rakyat pada PRU lalu.

“Kami yakin terhadap kepimpinan Azmin untuk terus menerajui kerajaan negeri dan melaksanakan pembangunan demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Azmin dikatakan mengada perbincangan dengan tiga exco PAS dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi di Sekinchan.

Sallehen bagaimanapun menafikan perbincangan itu menyentuh soal kedudukan PAS dalam kerajaan negeri.

Menurutnya, Azmin memaklumkan kesemua exco dan ADUN PAS memberi jaminan akan terus menyokong dasar kerajaan Selangor seperti yang digariskan pelan induk pentadbiran “Buku Jingga” Pakatan Rakyat yang sudah dibubarkan.

“Azmi turut menjelaskan pemimpin PAS juga menyuarakan keyakinan terhadap kepimpinannya di Selangor,” ujarnya. – 24 Mei 2017.