APM Tanah Merah Tangkap Harimau

Seekor harimau dahan betina seberat 50 kilogram berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tanah Merah di Ladang Kerilla, Tanah Merah petang semalam.

Pegawai Operasi APM Tanah Merah, Leftenan (PA) Mohd. Fadli Hassan berkata, harimau yang ditangkap itu dipercayai haiwan yang sama membaham seekor anjing penduduk tempatan kelmarin.

Katanya, operasi penangkapan membabitkan tiga anggota mengambil masa kira-kira tiga jam untuk menjinakkan haiwan liar itu.

“Kami menerima panggilan kecemasan mengenai kehadiran harimau itu daripada pengurusan ladang kira-kira pukul 11.18 pagi dan sampai di tempat kejadian pada pukul 12 tengah hari.

“Apabila sampai di tempat kejadian, anggota kami telah mengenalpasti seekor harimau dahan yang disangkakan musang oleh penduduk sebelum ini,” katanya.

Mohd. Fadli berkata, ketika tiba di tempat kejadian, harimau betina itu sedang bersembunyi di dalam saluran pembetung sepanjang kira-kira enam meter di sebuah kebun getah ladang berkenaan.

“Anggota kita terpaksa memecahkan satu daripada empat saluran pembetung itu sebelum berjaya memerangkap dan menangkap harimau berkenaan.

“Bagaimanapun seekor lagi anak harimau ini berjaya melepaskan diri daripada perangkap yang dipasang kerana pasukan operasi tidak menyedari harimau berkenaan bersama anaknya,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan maklumat awam, haiwan itu dipercayai berkeliaran di kawasan ladang berkenaan sejak seminggu lalu.

“Harimau ini juga dipercayai menyerang seekor anjing penduduk di ladang itu dalam kejadian malam semalam.

“Harimau berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya.