Cadang Buka Pusat Belian Padi Pada Hari Minggu

Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berharap agar Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dapat mempertimbangkan pembukaan pusat belian padi pada hari minggu.

Pengerusinya, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, langkah berkenaan perlu dilakukan oleh Bernas bagi mengelak berlaku lambakan padi terutamanya pada hari Jumaat dan Sabtu sehingga memberi kerugian kepada petani.

Menurutnya, ia memberi kesan terutama kepada petani yang menuai padi pada hari Khamis di mana mereka terpaksa menunggu sehingga hari Ahad untuk menjual semula padi berkenaan, ini ini sekaligus akan menjejaskan kualiti padi.

“Bernas merupakan satu-satunya syarikat yang memonopoli pembelian padi di Kelantan. Jadi, mereka perlu menguruskan pembelian padi petani yang dituai dengan kadar segera untuk mengelak kualiti padi menurun serta berlaku pemotongan yang tinggi.

“Saya bukan ingin menyalahkan Bernas, tetapi Bernas hanya perlu membeli padi ketika musim menuai sahaja, bukan sepanjang masa. Jadi, apa salahnya Bernas turut sama membeli padi pada hari Jumaat dan Sabtu,” katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-36 Tahun 2017 di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjung Puri.

Dalam pada itu, Md. Alwi berkata, masalah tersebut dapat diatasi sekiranya kerajaan mewujudkan sebuah lagi syarikat untuk pembelian padi di negeri itu.

“Bila ada dua syarikat yang menguruskan pembelian padi, ia akan berlaku persaingan. Ini akan membantu melancarkan proses pembelian sekaligus mengelak masalah yang sama berulang.

“Petani juga boleh membuat pilihan. Sekarang petani tiada pilihan, jangan sampai petani yang teraniaya sedangkan petani juga yang menaikkan mutu padi,” katanya.

Tambah beliau, KADA juga akan berusaha mengadakan perbincangan dengan pihak Bernas bagi menyelesaikan masalah tersebut. – 25 Mei 2017.