Sultan Selangor Perkenan Kekal Tiga Exco PAS

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan hasrat menteri besar untuk mengekalkan tiga exco daripada PAS di dalam pentadbiran kerajaan negeri itu.

Menurut kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, baginda sebelum ini telah menerima menghadap pesuruhjaya PAS Selangor bersama tiga exco terlibat untuk mengetahui pendirian mereka.

Kata kenyataan itu, setelah menimbang dan meneliti segala aspek dari sudut kestabilan pentadbiran kerajaan negeri dan berbincang dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, baginda memperkenankan hasrat untuk mengekalkan tiga exco berkenaan.

“Baginda berkenan hasrat Datuk menteri besar untuk mengekalkan ketiga-tiga exco PAS sehingga ke tarikh pilihan raya umum akan datang.

“Baginda juga berkenan agar kedudukan exco sedia ada dikekalkan demi kepentingan rakyat dan usaha pembangunan Selangor,” katanya.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin turut menyeru semua pihak agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi negatif tentang kestabilan kerajaan negeri.

“Baginda juga berharap rakyat khasnya yang beragam Islam menumpukan persiapan diri menjelang bulan Ramadan bagi meningkatkan keimanan dan ketaqwaan,” katanya. – 25 Mei 2017.