Tiada Faedah Untuk Jawab Kata Khairy

“Tiada faedah untuk saya menjawab perkara ini”.

Demikian reaksi ringkas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berhubung kenyataan Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai ketidakhadirannya pada perlawanan akhir Piala FA, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tunku Ismail, termasuk menasihatkan menteri itu supaya tidak hanya memilih untuk hadir ke majlis tertentu sahaja.

Khairy tidak hadir pada aksi final yang berlangsung di Stadium Shah Alam pada 20 Mei lepas kerana dikatakan menghadiri majlis penyerahan watikah kepada anggota parlimen belia.

Bagaimanapun, bagi Tunku Ismail, menteri tersebut sepatutnya menjadi antara individu yang sepatutnya hadir untuk menyaksikan perlawanan bersejarah itu.

“Jangan hanya ke majlis di mana anda akan menjadi tumpuan ramai,” kata Tunku Ismail.

Menurut Tunku Ismail, beliau dimaklumkan Khairy terlibat dengan program Askar Wataniah pada malam perlawanan Piala FA tersebut. – 25 Mei 2017.