Mufti Nasihat Manfaatkan Kelebihan Ramadan

Seluruh umat Islam digesa supaya melakukan perubahan dengan meningkatkan ketakwaan dalam diri masing-masing sempena Ramadan.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, bulan Ramadan didatangkan dengan membawa jutaan kerahmatan yang tiada tolak bandingnya, dan rugi bagi yang tidak mengejarnya.

Menurutnya, Rasullullah SAW pernah menegaskan, seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadan, nescaya mereka menginginkan Ramadan sepanjang tahun.

“Berlumba-lumba lah kita selagi Allah SWT memberi kesempatan untuk melakukan kebaikan. Rebut peluang mencari reda Allah SWT dengan meninggalkan larangannya dan menambahkan kebaikan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan, puasa itu sendiri adalah latihan untuk umatnya meningkatkan keupayaan mengendalikan diri sendiri.

“Latihan mengendalikan diri untuk membangunkan kekuatan kesabaran, supaya kita terbiasa dengan kesabaran. Bila puasa nak makan boleh sabar, nak minum boleh sabar, nak marah boleh tahan emosi. Ini latihan kepada kita,” katanya.

Selain itu, beliau juga mahukan umat Islam hidup dalam budaya tolong-menolong tanpa mengira darjat ketika mana seluruh dunia sedang menjalani ibadah puasa.

“Bantulah dalam perkara yang membawa kebaikan. Ini termasuk dalam soal kewangan. Tingkatkan amalan menderma di dalam Ramadan ini yang terlalu besar pahalanya biarpun dengan menghulurkan sebanyak mana termampu,” katanya. – 26 Mei 2017.