Selesai Tugas Sebelum Serah Surat Letak Jawatan

PKR Kelantan memberi tempoh kepada 75 lantikan politik daripada parti itu menyelesaikan tugas di setiap jabatan, sebelum menghantar surat peletakan jawatan.

Pengerusi PKR Kelantan, Ab. Aziz Ab. Kadir berkata, masih ada di antara penyelia yang menghantar surat rayuan kepada parti supaya memberikan tempoh untuk mereka selesaikan urusan pentadbiran sebelum berundur.

“Setakat ini kita belum hantar, bila selesai sahaja kita hantar surat kepada menteri besar atau setiausaha sulitnya. Tidak perlu tunggu pilihan raya,” katanya.

Ab. Aziz berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima arahan terbaharu daripada Biro Politik PKR.

Biro Politik PKR memutuskan tiga Exco PAS di Selangor kekal sehingga pilihan raya nanti.

Mengenai kesediaan kerajaan Kelantan memberi peluang berkhidmat kepada rakyat bersama-sama PAS, Ab. Aziz berkata, pihaknya tidak pernah mendapat pelawaan untuk berunding secara rasmi sebagaimana hasrat kerajaan negeri itu.

“Kalau serius mahu ahli kita kekal lagi di sini apa salahnya, datang jumpa, bincang dengan kita. Ini pun (peluang kekal) di Kelantan kita tahu di media sahaja,” katanya. – 26 Mei 2017.