H5N1: Tiada Kes Baharu Dikesan Di Kelantan

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) hari ini mengesahkan tiada jangkitan baharu penyakit selesema burung (H5N1) dikesan di Kelantan sejak 59 hari lepas.

Dalam satukenyataan yang dikeluarkan JPV berkata, sehingga kini, 36 lokasi disahkan positif wabak tersebut melibatkan enam jajahan iaitu 15 lokasi di Kota Bharu, enam di Pasir Mas, lima di Tumpat, enam di Bachok, tiga di Pasir Puteh, dan satu di Tanah Merah, melibatkan 51 premis.

“Jumlah pelupusan adalah 56,953 ekor ternakan unggas dan 17,531 biji telur. Bagi aktiviti pemantauan, jumlah sampel yang diambil 3,792 daripada 647 pemilik,” kata kenyataan itu.

Kata kemyataan itu lagi, melalui operasi sekatan jalan raya di empat lokasi strategik pula, sebanyak 21,764 kenderaan telah diperiksa dengan 61 kes rampasan melibatkan 286 ekor unggas.

“Setakat ini tiada jangkitan H5N1 dikesan dalam kalangan manusia manakala negeri lain pula kekal bebas wabak itu, namun berada dalam tahap kesiapsiagaan yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu, orang ramai tidak perlu bimbang untuk menikmati telur dan ayam pedaging yang dijual di pasaran kerana ia dikeluarkan oleh penternak di negeri yang bebas penyakit tersebut. – 27 Mei 2017.