Projek Pelancongan Lembah Binjai: Penduduk Dakwa ADUN PAS Bohong

Sebanyak 14 keluarga membuat laporan polis terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit, Mumtaz Mat Nawi dan Exco Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Datuk Abdul Fattah Mahmood berhubung projek pelancongan Lembah Binjai.

Mereka membuat laporan tersebut di Balai Polis Binjai, Kubang Kerian dengan mendakwa, Abdul Fattah dan Mumtaz telah berbohong mengenai projek tersebut.

“Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Mumtaz Mat Nawi telah berbohong menyatakan majoriti daripada kami telah bersetuju dengan pengambilan tanah kami untuk projek Lembah Binjai,” kata mereka.

Menurut laporan itu Abdul Fattah membuat pembohongan itu pada 17 Mei manakala Mumtaz melakukan perkara yang sama pada 19 Mei lalu.

Menurut laporan itu, pemilik-pemilik tanah tidak pernah menerima wakil sama ada pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) atau syarikat yang diberi kuasa datang memaklum, berbincang atau menyampaikan maklumat tentang pengambilan berkenaan.

Difahamkan, mereka hanya sedar perkara itu melalui media setelah berlakunya pewartaan.

Wakil penduduk berkenaan, Abdul Rahman Awang Mat berkata, ini permainan licik politik pemimpin PAS yang cuba merampas harta rakyat.

“Ini satu sikap zalim yang merugikan pihak kami kerana tidak ada apa-apa persetujuan dengan projek dan kos pengambilan.

“Harga tawaran pengambilan amat rendah berbanding harga pasaran,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkenaan menjalan siasatan segera kerana ini satu penganiayaan terhadap penduduk atau rakyat.

Pada 20 Januari lalu, akhbar melaporkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan AUEI Teras Holdings Sdn Bhd (AUEI) bernilai lebih RM100 juta bagi melaksanakan Pembangunan Bandar Institusi Pelancongan Lembah Binjai.

Abdul Fattah dilaporkan berkata, projek di kawasan seluas kira-kira 200 hektar itu akan membabitkan pembangunan perumahan dan pasar baru Kubang Kerian bagi fasa pertama. – 27 Mei 2017.