Harga Ayam Naik Melambung

Harga barangan mentah di beberapa buah pasar sekitar Kota Bharu naik melambung pada awal Ramadan ini berbanding sebelumnya.

Tinjauan Sokmo.net di beberapa buah pasar mendapati harga ayam dan daging naik melambung berbanding sebelumnya.

Misalnya di Pasar Pengkalan Chepa dan Kedai Lalat harga ayam dijual dengan harga RM7.50 hingga RM9.50 sekilogram. Malah ada sesetengah peniaga menjualnya sehingga RM10 sekilogram.

Sebelum ini, harga ayam dijual antara RM5.99 hingga RM7 sekilogram.

Sementara itu, harga daging di beberapa buah pasar pula dijual dengan harga RM27 hingga RM30 sekilogram.

Difahamkan, harga daging yang dijual bagi tempoh Januari hingga 20 Mei 2017 adalah sekitar RM25 hingga RM28 sekilogram. Ini bermakna harga daging yang dijual pada awal Ramadan ini meningkat dari RM2 ke RM5 bagi setiap kilogram.

Rata-rata peniaga ditemukan mengakui, Ramadan tahun ini paling sukar bagi mereka apabila terpaksa menjual harga ayam sehingga RM10 sekilogram.

“Belum pernah harga ayam cecah RM10 sekilogram. Kami dapat ayam dari pembekal pun sudah mahal sekitar RM9 hingga RM9.50, bila dijual dapatlah untung 50 sen sahaja sekilogram. Itu pun belum dikira harga plastik dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, sebuah portal berita melaporkan, makanan laut seperti udang pula dijual sekitar RM34 hingga RM38 sekilogram, manakala sotong RM26 hingga RM30 sekilogram.

Bagi sekilogram ikan kerisi, kembung dan selar pula sebelum ini dijual dengan harga RM10 sekilogram, sementara semalam dijual dengan harga RM18 sekilogram di sesetengah tempat.

Bagi barangan lain seperti bawang putih dijual dengan harga RM18 sekilogram berbanding RM15 sekilogram sebelum ini.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri (KPDNKK) Kelantan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang menaikkan harga sewenang-wenangnya.

Pengarahnya, Datuk Ab. Ghani Harun berkata, pihaknya akan mula membuat pemantauan di kawasan yang ditetapkan.

“Saya menasihatkan peniaga agar jujur dan tidak naikkan harga dengan mengambil untung berlebihan sehingga membebankan pengguna, kita akan mengambil tindakan tegas,” katanya. – 28 Mei 2017.