Kementerian Kesihatan Tingkat Pemantauan Produk Kurma

Susulan tular di media sosial, Kementerian Kesihatan akan meningkatkan pemantauan ke atas produk kurma di seluruh pasaran tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr, Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, pengguna disaran membaca label serta mengamalkan ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum menikmati makanan bagi mengelak termakan makanan yang rosak atau tercemar.

“Kementerian ingin menasihati pengguna dan orang ramai untuk menggunakan hak dan kuasa pembeli dalam memastikan produk makanan yang dibeli bersih dan selamat,” katanya.

Beliau berkata sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.

“Pengguna juga boleh melayari laman web http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di http://www.facebook.com/bkkmhg jika terdapat sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan,” katanya. – 28 Mei 2017.