Sedia Timbang Cadangan KPN

Kerajaan Selangor bersedia untuk mempertimbangkan cadangan agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menghentikan pengeluaran lesen pusat hiburan keluarga.

Cadangan tersebut dikemukakan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu dari segi perundangan, penguatkuasaaan dan perkara lain yang berada di bawah bidang kuasa PBT dan polis.

“Kerajaan negeri berpendirian sebarang aktiviti yang tidak sihat seperti perjudian haram harus dihentikan, ia bagi menjamin keselamatan masyarakat Selangor dan usaha ini memerlukan kerjasama dari semua pihak termasuk polis, PBT dan kerajaan negeri,” katanya.

Sebelum ini Khalid dilapor mencadangkan kerajaan negeri dan PBT di seluruh negara menghentikan pengeluaran lesen pusat hiburan keluarga serta-merta.

Katanya, ia kerana pengendalinya sering didapati menyalahgunakan lesen berkenaan untuk menjalankan kegiatan perjudian. – 28 Mei 2017.