Wanita Malaysia Ditemu Mati Dalam Bilik Hotel Di Hatyai

Seorang wanita rakyat Malaysia ditemukan mati dalam sebuah bilik hotel yang didiami bersama suaminya di Hatyai, selatan Thailand kira-kira 9.30 pagi semalam waktu tempatan.

Penolong Bahagian Siasatan Polis Hatyai,Kapten Jamlong Kongsawad berkata, wanita itu dikenali sebagai Tan Soon Lin berusia 39 tahun.

“Hasil siasatan polis mendapati, tiada sebarang kesan luka di bahagian tubuh wanita itu dan kematian beliau dipercayai akibat serangan penyakit jantung yang dialaminya,” katanya.

Katanya, hasil soal siasat terhadap suami wanita itu mendapati, mereka memasuki Hatyai kelmarin dan mendaftar masuk di sebuah hotel yang terletak di Jalan Sanenusom.

Menurut lelaki itu pula, apabila terjaga daripada tidur kira-kira 9.30 pagi beliau mendapati isterinya sudah meninggal dunia di tempat tidur.

Mayat wanita itu kemudian dihantar ke hospital berdekatan untuk dibedah siasat sebelum dibawa pulang ke Malaysia untuk pengebumian. – 28 Mei 2017.