15 Keluarga Bah Kuning Masih Berpuasa Di Kem PLKN

Kira-kira 15 keluarga mangsa bah kuning terpaksa menyambut bulan Ramadan buat tahun ketiga di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani selepas rumah kekal yang dijanjikan masih belum siap.

Seorang penduduk dari Kampung Batu 6, Che Harun Che Awang, 76, berkata, kebanyakan penduduk yang tinggal di kem itu masih lagi menunggu rumah yang disumbangkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Katanya, mereka reda dengan nasib yang menimpa, namun mengharapkan agar rumah kekal cepat diserahkan.

“Kami merupakan mangsa banjir yang masih lagi menunggu rumah kekal sejak tiga tahun lalu. Kami terkilan apabila kebanyakan mangsa banjir sudah berpindah dan menjalani ibadah puasa di rumah baharu.

“Ketika banjir dahulu, lebih 100 keluarga menghuni kem ini, tetapi selepas tiga tahun, hanya kami sahaja yang masih lagi menanti rumah kekal baharu,” katanya.

Seorang penghuni kem, Rohayu Mat Lazim, 40, berkata, sambutan Ramadan kali ini agak hambar kerana mereka tidak dapat berpuasa di rumah sendiri dan menyediakan juadah istimewa untuk keluarga.

Katanya, pada tahun ini, dia bersama suami dan tiga anak hanya menyambut Ramadan secara ala kadar sahaja di bilik kem berkenaan.

“Kami bersyukur apabila pihak kem menyediakan makanan untuk bersahur dan berbuka puasa. Namun, tidaklah selesa dan meriah seperti di rumah sendiri,” katanya.

Raja Rahani Raja Salleh, 54, pula berharap agar pihak berwajib dapat menyiapkan segera rumah kekal untuk mereka. – 29 Mei 2017.