KAFA Tidak Berhasrat Lunas Tunggakan Gaji

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak berhasrat untuk melunaskan tunggakan gaji biarpun mendapat bayaran pampasan perpindahan Mohammed Ghaddar ke Johor Darul Ta’zim (JDT) berjumlah RM1.4 juta.

Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md. Nor berkata, pihaknya lebih memberikan keutamaan untuk menyelesaikan tunggakan gaji yang sedang dihadapi oleh badan induk itu ketika ini.

“Kita sudah dapat (wang tebus kontrak Ghaddar) tetapi masih ada sedikit lagi baki yang belum KAFA terima.

“Tunggakan gaji (bekas pemain) KAFA tidak boleh bayar lagi, sebab kena selesaikan yang terkini dahulu baru boleh berbuat selebihnya,” katanya ketika mengulas kenyataan Jonanthan McKain yang mempersoal tindakan Kelantan yang baru-baru ini mendapatkan pemain import baharu.

Terdahulu, bekas tonggak kebangsaan Australia itu memuat naik status di twitter miliknya yang membidas tindakan Kafa yang liat untuk melunaskan tunggak gajinya.

Ismail memberitahu, pihaknya tidak pernah berdiam diri walaupun ramai pihaknya yang mempersoalkan tindakan KAFA dalam menangani masalah tersdbut.

Katanya, KAFA sedang berusaha mencari duit untuk menyelesiakan masalah tersebut dengan secepat mungkin.

“Cuma buat masa sekarang KAFA tidak ada duit, namun kita sentiasa komited untuk selesaikannya. Sampai masa KAFA akan bayar,” ujarnya.

Mengulas mengenai pembelian pemain import dengan isu tunggakan gaji, Ismail memberitahu ia adalah perkara yang berbeza.

“Kita ambil pemain baharu kerana mahu bersaing dengan pasukan-pasukan dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

“Soal tunggakan gaji, ada kaedah pembayaran lain, kalau nak tumpu pada soal tunggakan gaji sahaja, Kelantan kena tarik diri daripada saingan liga sebab tak ada pemain,” ujarnya. – 29 Mei 2017.