KDN Akan Panggil The Star

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memanggil Ketua Pengarang akhbar berbahasa Inggeris The Star berikutan penyiaran muka depan akhbar itu yang tidak sensitif kepada umat Islam di negara ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, pihaknya kecewa dengan akhbar tersebut yang secara sambil lewa memaparkan gambar umat Islam menunaikan solat Tarawih pada malam pertama Ramadan, namun tajuk muka depannya tertulis ‘Malaysia Terrorist Leader’.

“Kita akan panggil Ketua Pengarang akhbar berkenaan untuk mendengar penjelasan mereka berhubung penyiaran gambar dan tajuk di muka depannya hari ini (semalam).

“Jika KDN tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan tindakan selanjutnya akan diambil termasuk mengeluarkan surat tunjuk sebab,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Penerapan Nilai-Nai Murni yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid di Masjid Tok Jembal, Kuala Terengganu.

Alwi berkata, tindakan akhbar itu sangat mengecewakan memandangkan KDN telah memanggil pengurusan akhbar terbabit pada 23 Mei lepas untuk memberikan garis panduan mengenai penerbitan yang sepatutnya dikeluarkan.

Sementara itu, akhbar tersebut telah memohon maaf di atas kesilapannya.

Portal berita Mstar online melaporkan, pada tahun ini, terdapat kebetulan yang tidak bernasib baik apabila berita utama adalah mengenai ketua pengganas, yang membawa kepada banyak kaitan dengan tajuk berita dan gambar, yang mana akhbar tidak berniat untuk berbuat demikian.

Berdasarkan pengalaman lalu, The Star seharusnya lebih arif dan sensitif terhadap perasaan pembaca kami yang beragama Islam.

“Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf di atas kesilapan pertimbangan di pihak kami,” lapor portal itu. – 29 Mei 2017.