Kelantan Gulung Tikar Tahun Depan, Kerajaan Negeri Perlu Sama Pikul Tanggungjawab

Kelantan berkemungkinan besar terpaksa gulung tikar daripada beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan sekiranya masih berharap kepada seorang individu untuk memikul tugas tersebut.

Penaja utama TRW, Tan Sri Annuar Musa berkata, tugas itu sepatutnya turut dipikul oleh kerajaan negeri bagi memastikan segala masalah dapat diselesaikan.

Menurutnya, untuk saingan musim 2018, beliau menggariskan dua pilihan buat TRW iaitu mencari penaja untuk melunaskan hutang atau mengurus pasukan bagi mengharungi saingan Liga M.

“Musim 2018 , TRW boleh buat pilihan, cari penaja dan guna duit tajaan untuk bayar hutang sejak 25 tahun dulu, maka TRW tidak perlu lagi bermain dalam Liga M.

“Atau cari penaja untuk menaja TRW 2018 dan mengurus hutang mengikut kemampuan dan yang mana satu pilihan anda?,” katanya menerusi entri laman sosial facebook miliknya.

Status tersebut dimuat naik oleh Annuar selepas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sedang berdepan masalah kekangan hutang melibatkan bekas pemain pasukan itu bagi musim 2015 dan 2016.

Sebelum ini, bekas tonggak kebangsaan Australia, Jonathan McKian memuat naik status di twitter miliknya yang membidas tindakan KAFA yang liat untuk melunaskan tunggakan gajinya.

Pada masa sama, Persekutuan Pemain Profesional Antarabangsa (FIFPro) turut menyifatkan tindakan KAFA menandatangani pemain import baharu tanpa menyelesaikan tunggakan gaji pemain lama sebagai memalukan. – 29 Mei 2017.