Unit Udara JBPM Bantu Orang Asli Sakit

Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan Medical Evacuation (Medevac) membawa seorang lelaki Orang Asli yang sakit sejak dua minggu lalu untuk mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang.

Secok Abus, 34, dari Kampung Lalok, Pos Bihai mengalami demam panas dan bengkak kaki kiri dikatakan terperangkap di perkampungan berkenaan akibat jalan balak yang menghubungkan kampung ke bandar rosak.

Anak saudaranya, Hamidi Kejok, 16, berkata, mereka sekeluarga tidak dapat membawa Secok keluar untuk mendapatkan rawatan melalui jalan darat.

Malah Hamidi memberitahu, keadaan bapa saudaranya lemah kerana hilang selera makan dan tidak terdaya untuk berjalan akibat kaki bengkak.

“Cuaca hujan di kawasan perkampungan lebih seminggu lalu menyebabkan jalan balak rosak teruk.

“Mujurlah, anggota bomba melakukan penerbangan ihsan untuk membawa bapa saudara saya ke hospital. Kini dia dilaporkan stabil dan masih dirawat di hospital,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farhan Marzuki berkata, pihaknya melakukan penerbangan ke kampung berkenaan pada pukul 11.30 pagi.

Katanya, pada pukul 12.30 tengahari, helikopter Agusta Westland 139 tiba di Kampung Lalok dan seterusnya mendarat bersama pesakit di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 1.15 petang.

“Penerbangan diketuai oleh Kapten Sidek Abas bersama pembantu juruterbang, Faridullahamin Mohd. Noh dan tiga lagi anggota.

“Pihak kami komited untuk menjalankan tugas menyelamatkan penduduk yang memerlukan bantuan dan ini merupakan penerbangan pertama ketika bulan ramadan,” katanya. – 29 Mei 2017.