20 Keluarga Teruja Terima Rumah Baharu Sumbangan TNB

Sebanyak 20 keluarga keluarga asnaf di Kelantan teruja dapat menyambut Ramadan dan Aidilfitri tahun ini di rumah baharu sumbangan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Rumah bernilai RM50,000 itu dibina menerusi Program Baiti Jannati TNB iaitu projek pembinaan rumah percuma khusus untuk golongan asnaf terpilih di seluruh negara.

Penyerahan rumah tersebut disempurnakan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Salah seorang penerima, Borhan Md. Nor, 37, berkata, dia dan isteri serta tiga anak mereka tinggal di sebuah rumah sewa yang serba kekurangan sejak 15 tahun lalu.

“Saya mempunyai sebidang tanah di Jeli namun tidak mampu membina rumah kerana pendapatan saya sebagai pemandu hanya cukup makan kami lima beranak.

“Saya bersyukur apabila TNB memaklumkan saya terpilih menjadi antara 20 penerima bantuan rumah Baiti Jannati. Alhamdulillah kami sekeluarga dapat menyambut Hari Raya kali ini di rumah baharu,” katanya.

Bagi Hanifah Dollah, 54, pula, dia berasa amat gembira menerima sumbangan tersebut kerana tidak pernah memiliki rumah sendiri seumur hidupnya.

“Suami saya meninggal dunia tiga tahun lalu dan arwah cuma seorang penoreh getah. Dengan pendapatan tidak menentu, memang mustahil kami dapat mengumpul wang untuk membeli atau membina rumah sendiri.

“Rumah pemberian TNB ini ibarat mimpi jadi kenyataan namun saya terkilan tidak dapat berkongsi rasa gembira ini bersama arwah suami,” katanya. – 30 Mei 2017.