Kerajaan PAS Kelantan Diminta Tidak Lepas Tangan

Kerajaan PAS Kelantan diminta tidak lepas tangan dalam isu 15 keluarga yang masih menghuni kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) biarpun sudah tiga tahun bah kuning berlalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusoff berkata, pihaknya tidak mengetahui kenapa kesemua mangsa banjir tersebut masih berada di kem itu.

Beliau berkata, tanggungjawab Kerajaan Pusat untuk membina semua rumah untuk mangsa banjir di daerah ini telah selesai.

“Sebanyak 100 buah rumah di Kampung Batu Papan 2 dan 32 buah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) telah diserahkan kepada mangsa banjir yang kehilangan rumah.

“Saya dimaklumkan kira-kira 15 keluarga yang menghuni di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani adalah mangsa banjir yang dijanjikan rumah oleh pihak kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

“Mereka harus tampil untuk memberikan penjelasan mengenai isu ini apatah lagi ini merupakan tahun ketiga mangsa banjir berpuasa dan mungkin akan menyambut Aidilfitri di kem PLKN,” katanya.

Kira- kira 15 keluarga mangsa banjir terpaksa menyambut bulan Ramadan untuk tahun ketiga berturut-turut di kem PLKN Etnobotani di Gua Musang.

Kesemua mangsa banjir itu masih lagi menunggu rumah kekal yang dijanjikan selepas kediaman mereka musnah dihanyut bah kuning penghujung Disember tahun 2014.

Sementara itu, Ab. Aziz berharap, masalah tersebut akan dapat diselesaikan secepat mungkin. – 30 Mei 2017.