MAIK Yakin Masalah Rumah Mangsa Banjir Selesai Julai Ini

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yakin sebarang masalah berkaitan penempatan mangsa bah kuning akan selesai menjelang Julai ini selepas urusan pembinaan dan infrastruktur dijangka siap.

Timbalan Yang Dipertua MAIK. Dr. Nik Mohd. Azlan Abd. Hadi berkata, mangsa banjir yang masih belum berpindah ke rumah kekal diminta menghubungi Pejabat Tanah dan Jajahan terlibat untuk mendapatkan maklumat terkini status mereka.

Beliau berkata, sebanyak 189 rumah kekal bernilai antara RM38,000 hingga RM40,000 setiap satu dibina di daerah Gua Musang dan Kuala Krai menggunakan peruntukan daripada MAIK.

“MAIK hanya menyalurkan wang zakat manakala urusan selanjutnya termasuk pemilihan pemohon dan pembinaan rumah dilaksanakan oleh Pejabat Tanah dan Jajahan.

“Sebanyak 129 unit dibina di Gua Musang melibatkan Kampung Limau Kasturi (41); Simpang Pulai (38) dan Tanah Puteh (50) manakala 60 buah lagi di Kampung Telekong, Kuala Krai.

“Sebahagian daripada mangsa sudah pun memasuki rumah baharu manakala sebahagian rumah masih lagi dalam pembinaan namun kita jangka semua mangsa banjir akan dapat memasuki rumah mereka menjelang awal Julai ini,” katanya.

Akhbar melaporkan mengenai 15 buah keluarga mangsa bah kuning yang masih lagi berada di pusat pemindahan sementara di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani di Gua Musang selepas rumah kekal yang dijanjikan kepada mereka masih lagi belum siap.

Kebanyakan mangsa yang sekali lagi terpaksa mengharungi bulan Ramadan di kem tersebut dikatakan menunggu rumah sumbangan MAIK. – 30 Mei 2017.