Penerbangan Ihsan Bantu Gadis Orang Asli Keracunan Makanan

Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan ihsan membawa seorang gadis Orang Asli yang pengsan dipercayai akibat keracunan makanan dari Kampung Dakoh, Pos Balar, Gua Musang.

Mangsa, Legog Aleg, 16, telah mengalami cirit-birit dan muntah berdarah sehingga anggota tubuh badannya lemah serta tidak berdaya untuk berjalan.

Legog telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Farhan Marzuki berkata, pihaknya telah melakukan penerbangan ke Kampung Dakoh pada pukul 12.30 tengah hari selepas menerima laporan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Katanya, pesawat Agusta Westland 139 berjaya mendarat di Kampung Dakoh dalam masa 45 minit.

“Keadaan pesakit begitu tenat kerana dia tidak sedarkan diri sehingga kita terpaksa menggunakan pengusung.

“Penerbangan itu dikendalikan oleh juruterbang, Timbalan Penguasa Bomba (TPgB), Faridullahamin Mohd. Noh bersama pembantunya, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB), Mohd. Fadhlan Pauzie dan tiga lagi anggota.

“Pesakit kini masih lagi menerima rawatan di hospital dan dilaporkan stabil,” katanya. – 30 Mei 2017.