Tindakan Keras Terhadap Bas Ekspres Tiada Pemandu Kedua

Pengusaha bas ekspres yang tidak menyediakan pemandu kedua sepanjang Ops Selamat sempena Aidilfitri tahun ini akan dikenakan tindakan tegas.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Nadzri Siron berkata, ia sebagai langkah bagi mengurangkan jumlah kemalangan terutama di musim perayaan ini.

“JPJ mensyaratkan perlu ada dua pemandu yang boleh memandu secara bergilir sepanjang perjalanan mereka.

“Ia adalah untuk menjamin keselamatan penumpang agar selamat sampai ke destinasi masing-masing,” katanya.

Katanya, JPJ mendapati selepas bas-bas ekspres ini selesai diperiksa, salah seorang daripada dua pemandu akan turun di pertengahan jalan.

“JPJ akan ketatkan penguatkuasaan dengan melakukan sekatan jalan raya secara mengejut ke atas syarikat bas ekspres yang cuba mengambil kesempatan daripada kelonggaran undang-undang.

“Sekiranya kami mendapati hanya ada seorang saja pemandu di dalam perjalanan, bas ekspres berkenaan akan diarahkan berhenti daripada meneruskan perjalanan dan dikenakan notis saman,” katanya. – 30 Mei 2017.