Polis Tembak Mati Dua Penjenayah Warga Asing

Polis menembak mati dua penjenayah dipercayai warga asing dalam satu kejadian di Jalan Salor Baru semalam.

Suspek mati serta-merta di lokasi kejadian manakala dua rakan mereka berjaya ditangkap polis di kawasan sekitar dalam kejadian kira-kira pukul 10.05 malam itu.

Terdahulu berlaku adegan kejar-mengejar antara polis dan suspek sejauh kira-kira lima kilometer dari Wakaf Che Yeh sehingga ke lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohamad Fakri Che Sulaiman mengesahkan mengenai kejadian dan memaklumkan satu sidang akhbar berhubung perkara itu akan diadakan.

Empat penjenayah itu terbabit dengan kes samun bank dan memiliki lapan rekod lampau serta dikehendaki pihak polis.

Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat. – 31 Mei 2017.