The Star Digesa Lebih Sensitif

Akhbar berbahasa Inggeris, The Star digesa agar lebih sensitif dalam menyiarkan berita serta gambar supaya tidak menyinggung perasaan atau menghina masyarakat Islam di negara ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, akhbar berkenaan sebelum ini sudah beberapa kali memaparkan berita-berita yang mengguris perasaan umat Islam sehingga mengundang bantahan pelbagai pihak.

Malah katanya, tindakan The Star baru-baru ini yang menyiarkan gambar umat Islam menunaikan solat tarawih dan tajuk be­rita utama muka hadapan mengenai pengganas seolah-olah mempunyai niat tersembunyi.

“Kita harap The Star ini akan lebih sensitif pada masa hadapan. Perkara seumpama ini tidak sepatutnya dilakukan oleh sebuah akhbar yang dianggap terkenal,” katanya selepas mesyuarat Exco hari ini.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan berhubung penerbitan muka hadapan The Star pada Sabtu lalu di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 298A Kanun Ke­seksaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, siasatan dijalankan selepas polis menerima banyak aduan dan laporan mengenai gambar serta tajuk muka depan akhbar tersebut yang disifatkan menyinggung perasaan umat Islam.

Pada Sabtu lalu, The Star telah menyiar­kan gambar umat Islam menunaikan solat tarawih dan tajuk be­rita utama muka hadapan tertera Malaysian Terrorist Leader yang disifatkan tidak menghormati dan sensitif dengan umat Islam negara ini

Mengulas lanjut beliau yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, PAS menyambut baik tindakan Kementeran Dalam Negeri (KDN) yang memanggil wakil akhbar berkenaan memberikan penjelasan berhubung isu tersebut selain pihak polis sudah membuka kertas siasatan mengenainya.

“Kita tengok apa yang akan berlaku selepas ini, kalau mereka (The Star) tidak juga berubah, tindakan lebih berkesan diharap dapat dikenakan,” katanya. – 31 Mei 2017.