BN Kelantan Akur Keputusan Speaker

Barisan Nasional (BN) Kelantan akur dengan keputusan yang dibuat Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN) Datuk Abdullah Ya’kub mengosongkan kerusi DUN Nenggiri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sepanjang berkhidmat selaku Ahli Dewan Undangan Nenggiri Datuk Mat Yusoff Abd. Ghani telah memberi perkhidmatan terbaik dan penuh komitmen kepada pengundi Nenggiri.

“Saya bersimpati dengan nasib yang menimpa beliau dan pada masa yang sama berharap insiden ini menjadi teladan kepada wakil-wakil rakyat Barisan Nasional yang lain supaya ia tidak berulang di masa hadapan.

“Meskipun kerusi DUN N43 Nenggiri kosong, Barisan Nasional akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada semua pengundi kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdulah hari ini mengisytiharkan Mat Yusoff hilang kelayakan sebagai ADUN Nenggiri selepas diisytihar muflis sekali gus menjadikan kerusi tersebut kosong.

Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya menerima surat daripada Jabatan Insolvensi cawangan Selangor pada 28 Mei lalu yang memaklumkan mengenai kebangkrapan Mat Yusoff sejak 9 November tahun lalu.

Mat Yusoff memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi kerusi DUN Nenggiri selepas menewaskan Mohammad Azihan Che Seman dari PKR dan Abdul Aziz Mohamed (Bebas).

Mat Yusoff mendapat 6,654 undi manakala Mohammad Azihan (2,805) dan Abdul Aziz (368).

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan kepada Speaker DUN untuk menentukan sama ada ingin mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri atau sebaliknya.

Pengarah SPR negeri, Fakhrul Razi Ab. Wahab berkata, bagaimanapun, PRK tersebut tidak semestinya wajib diadakan selepas melebihi tempoh tiga tahun selain Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dijangka semakin hampir.

“Selalunya apabila melebihi tempoh tiga tahun atau sudah lepas edah, PRK tidak perlu dibuat namun apa-apa pun bergantung kepada keputusan Speaker DUN sama ada ingin mengadakan pilihan raya atau tidak.

“Pada masa sama, kita lihat kerajaan negeri Kelantan masih stabil meskipun satu kerusi DUN terpaksa dikosongkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.– 1 Jun 2017.