Mat Yusoff Hilang Kelayakan ADUN Nenggiri

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdulah Ya’kub mengisytiharkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri dari Barisan Nasional (BN), Datuk Mat Yusoff Abd. Ghani hilang kelayakan sebagai ADUN berikutan statusnya yang bangkrap.

Ia sekali gus menjadikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut kosong.

Abdullah berkata, pihaknya menerima surat berkaitan daripada Jabatan Insolvensi cawangan Selangor pada 28 Mei lalu yang memaklumkan mengenai kebangkrapan Mat Yusoff sejak 9 November tahun lalu.

Beliau berkata, sebelum itu, pejabat Penasihat Undang-undang negeri Kelantan telah menerima surat sama mengenai makluman kebangkarapan tersebut lebih awal iaitu pada 21 Mei lalu.

“Mengikut Perkara 31 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh kerajaan Kelantan menyatakan ‘dengan tertakluk kepada syarat-syarat perkara ini seseorang itu tidak layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri jika ia muflis yang belum selesaikan lagi’.

“Oleh kerana ADUN Nenggiri telah diisytihar muflis dan belum selesaikan lagi, maka saya sebagai Speaker DUN dengan ini mengisytihar bahawaa Mat Yusoff Abd. Ghani kad pengenalan 620320035681 adalah tidak layak menjadi ADUN akibat kebangkarapan tersebut.

“Bermula dari pengisytiharan ini, maka kerusi DUN Nenggiri diisytihar kosong dan saya akan menghantar surat serahan tangan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri memaklumkan perkara ini pada Ahad ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim hari ini. – 1 Jun 2017.