Polis Siasat Kematian Pegawai JSJK

Polis Kelantan akan melakukan siasatan terperinci berhubung kematian pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, hari ini.

Inspektor Ahmad Al-Syamir Sharif Folidin, 29, ditemukan dalam kedaan berlumuran darah dan terkulai di kerusi di dalam pejabatnya kira-kira pukul 9.40 pagi hari ini.

Difahamkan, terdapat kesan tembakan di bahagian dahi mangsa.

Kejadian tersebut disedari oleh pegawai bilik gerakan polis selepas mangsa tidak menghadiri mesyuarat pagi di IPD berkenaan hari ini.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa adalah pegawai bertugas yang bertanggungjawab menjalankan rondaan di sekitar daerah berkenaan bermula pada pukul 8 malam hingga 8 pagi hari ini.

“Ketiadaan wakil atau ketua bahagian siasatan jenayah komersial pada mesyuarat pagi menimbulkan persoalan sehingga arahan dikeluarkan untuk mengesannya di pejabat JSJK yang terletak berhampiran dengan kantin dan flat penginapan keluarga anggota polis.

“Mangsa yang berasal dari Selangor dan bertugas di JSJK Pasir Puteh sejak 8 Mei 2016 disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh yang diminta membuat pemeriksaan selepas mangsa ditemui pada pukul 9.40 pagi,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Din berkata, siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia ditempat kejadiaan dengan satu kesan tembakan di dahi dan kesan aliran darah pada badan dan lantai pejabatnya.

Beliau berkata, kesan tembakan dipercayai dari sepucuk pistol jenis P99 Walther yang turut ditemui di ruang pejabat tersebut.

“Proses siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian sama ada kes ditembak atau tertembak.
Setakat ini kita klasifikasikan kes ini sebagai kematian mengejut yang akan disusuli dengan siasatan lanjut untuk mencari jawapan sebenar punca kematian mangsa.

“Anggota penyiasat akan meneliti pelbagai aspek sama ada kematian ini berlaku secara sengaja atau sebaliknya. Setakat ini, mangsa tidak mempunyai sebarang rekod tata tertib dan sebarang masalah berkaitan tugasan yang disandang. Namun kita akan siasat pelbagai kemungkinan berhubung tekanan (stress) perasaan dan sebagainya,” katanya. – 1 Jun 2017.