Terserah Kepada Speaker DUN Kelantan – SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdulah Ya’kub untuk menentukan sama ada ingin mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri atau sebaliknya.

Pengarah SPR negeri, Fakhrul Razi Ab. Wahab berkata, bagaimanapun, PRK tersebut tidak semestinya wajib diadakan selepas melebihi tempoh tiga tahun selain Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dijangka semakin hampir.

“Selalunya apabila melebihi tempoh tiga tahun atau sudah lepas edah, PRK tidak perlu dibuat namun apa-apa pun bergantung kepada keputusan Speaker DUN sama ada ingin mengadakan pilihan raya atau tidak.

“Pada masa sama, kita lihat kerajaan negeri Kelantan masih stabil meskipun satu kerusi DUN terpaksa dikosongkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdulah Ya’kub hari ini mengisytiharkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, dari Barisan Nasional (BN), Datuk Mat Yusoff Abd. Ghani hilang kelayakan memegang jawatan tersebut selepas diisytihar muflis sekali gus menjadikan kerusi tersebut kosong.

Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya menerima surat daripada Jabatan Insolvensi cawangan Selangor pada 28 Mei lalu yang memaklumkan mengenai kebangkrapan Mat Yusoff sejak 9 November tahun lalu. – 1 Jun 2017.