Bantuan Khas Penjawat Awam RM500 Sempena Aidilfitri

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada 1.6 juta penjawat awam sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Menerusi Twitternya beliau memaklumkan, pesara kerajaan juga bakal menikmati bantuan khas itu sebanyak RM250.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, hampir 775,000 pesara kerajaan yang menerima bantuan khas itu adalah bagi menghargai jasa perkhidmatan mereka.

“Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat sebelum 9 Jun 2017.

“Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara Kerajaan ini membabitkan anggaran peruntukan kewangan sebanyak RM1 bilion,” kata kenyataan itu.

Kata kenyataan itu lagi, kerajaan berharap dengan pemberian Bantuan Khas itu, ia dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara bagi persiapan Hari Raya Aidilfitri 2017. – 2 Jun 2017.