Jangan Biadap Dalam Melaksanakan Tugas – Annuar

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mengingatkan Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP), Kevin Ramalingam supaya jangan biadap dalam melaksanakan tugasnya.

Dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya, beliau turut menuntut penjelasan daripada Kevin mengenai makna kenyataan isu yang telah dipolitikkan.

“Saya nak tanya apa maksud jangan ‘mempolitikkan’ isu… siapa mempolitikkan? Politik apa?

“Anda (Kevin) mahu pasukan yang ditindas berdiam diri dan hanya menagih simpati. Itu bukan TRW,” katanya.

Annuar berkata, sebagai pihak berkepentingan beliau berhak untuk bersuara dan akan terus bersuara tanpa gentar.

“Ini soal bola, soal cara bekerja, soal keadaan. Saya berbelanja dan melabur untuk bola kerana minat dan tak mahu bola sepak Kelantan dikuburkan atau berkubur,” katanya.

Menurut Annuar, pihak pengurusan Kafa yang diketuai Pemangku Presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah akan mendapatkan penjelasan daripada FMLLP berhubung situasi yang melanda pasukan itu pada Isnin depan.

“Biar rombongan Kafa dapatkan penjelasan dan kita akan tentukan langkah selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, Kafa bukan mempertikaikan hukuman FMLLP sebaliknya tindakan tidak konsisten Kevin dalam mengeluarkan kenyataan bercanggah mengenai pasukan tersebut. – 2 Jun 2017.