Minyak Masak Kitar Semula Tiada Sijil Halal

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Bahagian Hab Halal) Jakim tidak pernah memberikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk minyak masak dikitar semula.

Jakim menjelaskan perkara itu berikutan tular di media sosial mengenai isu minyak masak jenama Buah Sawit yang dijual kepada pengguna adalah minyak kitar semula dari restoran-restoran bukan Islam.

Minyak tersebut dikatakan telah diproses semula dan dipasarkan secara meluas, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap pengguna terutama orang Islam.

Menerusi satu kenyataan, Jakim memaklumkan minyak masak jenama Buah Sawit keluaran Syarikat Jaburan Sdn. Bhd. pernah dikenakan tindakan pada 2016 kerana menggunakan logo halal tanpa memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah.

Bagaimanapun, status terkini syarikat tersebut adalah dalam proses permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

“Sehubungan itu, Jakim amat mengalu-alukan usaha syarikat di luar sana untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk pastikan produk dihasilkan bukan sahaja dijamin halal, malah suci, bersih dan selamat serta mengikut standard serta panduan halal telah ditetapkan,” kata kenyataan itu.

Untuk mengetahui produk yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia, pengguna boleh layari direktori halal di http://www.halal.gov.my atau di aplikasi telefon pintar MyJakim. – Jun 2017.