300 Motosikal Hangus

Lebih 300 motosikal bernilai keseluruhannya melebihi RM1 juta musnah dalam kebakaran di sebuah kedai motosikal di Kampung Bukit Belah, Gaal, Pasir puteh awal pagi tadi.

Kebakaran tersebut turut memusnahkan sebuah lagi rumah berdekatan.

Ketua Pegawai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba, Azhar Elmi Mustophar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.57 pagi.

Beliau berkata, operasi mengawal dan memadam api tamat pada jam 6.27 pagi dan pihaknya masih menyiasat punca kejadian.

Katanya, kerugian awal dianggarkan lebih RM1 juta.

Sementara itu, mangsa kebakaran, Che Hasnah Idris, 62, memberitahu, dia bersama enam beranak termasuk tiga cucu tinggal sehelai sepinggan selepas kediaman mereka turut musnah dalam kebakaran itu.

Katanya, ketika kejadian, mereka sekeluarga sedang tidur dan kebakaran itu dipercayai berlaku kira-kira jam 3 pagi.

“Secara tiba-tiba, saya dikejutkan anak perempuan yang berada dalam keadaan terkejut melihat api dan meminta kami menyelamatkan diri.

“Bagaimanapun, saya bersyukur semua anggota keluarga terselamat walaupun semua harta benda musnah,” katanya. – 3 Jun 2017.