Belum Ada Kata Putus PRK DUN Nenggiri – Speaker

Keputusan sama ada pilihan raya kecil bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan diadakan atau tidak hanya akan ditentukan selepas kekosongan kerusi tersebut dimaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub berkata, pemakluman secara rasmi mengenai kekosongan DUN Nenggiri tersebut akan dibuat beliau sendiri menerusi surat serahan tangan kepada SPR negeri, esok.

“Buat masa ini saya tidak boleh komen lebih lanjut. Itu (pilihan raya kecil) atas budi bicara SPR.

“Tunggu dulu, kita akan maklumkan dari semasa ke semasa perkembangan terbaharu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kelmarin, Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong apabila penyandangnya, Datuk Mat Yusoff Abd. Ghani dari Barisan Nasional (BN) diisytiharkan muflis.

Susulan pengumuman itu, Pengarah SPR negeri, Fakhrul Razi Ab. Wahab berkata, pilihan raya kecil tidak semestinya wajib diadakan kerana sudah melebih tempoh tiga tahun dan perkara tersebut perlu diputuskan oleh Speaker DUN Kelantan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, setakat ini belum ada kata putus sama ada pilihan raya kecil bagi DUN Nenggiri akan diadakan atau tidak.

“Biar SPR tentukan berdasarkan perlembagaan dan peraturan sedia ada. Cuma apa yang saya faham, tidak ada pilihan raya kecil kerana sudah lebih tiga tahun.

“Kalau pun ada pilihan raya kecil, PAS sedia bertanding. Insya Allah,” katanya. – 3 Jun 2017.