Dua Kritikal, Dua Dibenarkan Pulang

Dua daripada tujuh mangsa dari Maahad Tahfiz Al-Hashimi yang selamat dalam kemalangan di Kampung Telekong, kuala Krai semalam dilaporkan masih kritikal.

Dua pelajar terbabit, Ahmad Syakir Azfar Abd Rahim, 16, yang mengalami pendarahan endomen dan Muhammad Faiz Hafizuddin Mohamad Izahir, 17, pendarahan kepala kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi ( ICU) Hospital Kuala Krai dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Pengarah Hospital Kuala Krai, Dr. Mohd. Salleh Mat Jusoh berkata, pelajar terbabit mengalami kecederaan yang serius dan pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan mereka.

Sementara itu, Mohd. Salleh berkata, dua mangsa lain, Muhammad Aidil Ismail, 14, dan guru pengiring, Muhamad Izzat Muhamad Nor, 24, sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.

“Manakala tiga lagi mangsa iaitu Muhammad Nur Haikal Fauzi, 14,; Muhammad Syuwari Manasikana,14 , dan Muhammad Hamzi Muhammad Husham, 24, masing-masing dirawat di Hospital Kuala Krai, Machang dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Ketiga-tiga mereka bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dan dijangka dibenarkan pulang pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi semalam, tujuh pelajar maahad tersebut maut selepas van dinaiki mereka terbabas lalu merempuh sebuah rumah di Kampung Telekong, Kilometer 55, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu.

Lebih memilukan, rombongan mereka yang terdiri daripada 12 pelajar dan dua guru pengiring tersebut dikatakan dalam perjalanan untuk menyertai sebuah program tafsir al-Quran sempena Ramadan di Kota Bharu. – 3 Jun 2017.