Islam Larang Guna Masjid Untuk Kepentingan Politik – Mufti Kelantan

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad kesal dengan tindakan sesetengah pihak bukan beragama Islam yang menyalahgunakan masjid sebagai tempat berpolitik demi kepentingan sesebuah parti.

Katanya, sememangnya tidak menjadi halangan atau kesalahan apabila golongan bukan Islam memasuki masjid namun mereka perlu menjaga adab daripada segi perbuatan, pakaian dan sebagainya.

Namun tegasnya, apabila mereka mengambil kesempatan menggunakan pentas masjid tersebut untuk kepentingan politik, ia sama sekali dilarang dalam Islam.

“Adalah sangat tidak sesuai sekiranya masjid digunakan untuk kempen-kempen parti politik tertentu. Masjid tidak ada kepartian dan seeloknya perbuatan seperti itu tidak dilakukan,” katanya.

Kelmarin, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa teramat dukacita dengan tindakan Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa yang menggunakan ruang solat Masjid An Nur di Kampung Melayu Subang sebagai tempat berpolitik.

Ekoran daripada itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menubuhkan satu Jawatankuasa Panel Khas untuk menyiasat insiden tersebut.

Sementara itu, Mohamad Shukri menggesa semua pihak supaya akur dan menghormati titah Sultan Selangor yang tidak membenarkan bukan Islam menggunakan masjid untuk sebarang agenda berbaur politik.

“Sultan adalah ketua agama atau Wali Al-Amri bagi negeri-negeri dan masyarakat perlu mematuhi sebarang titah Sultan.

“Kalau Sultan sudah titahkan bukan Islam tidak boleh gunakan masjid untuk tujuan politik, kita seharusnya kena patuh,” katanya. – 3 Jun 2017.